Memahami kandungan al-Quran lahir keinsafan
Oleh Mohd Shukri Hanapi
MEMBACA al-Quran sama ada dilakukan oleh orang yang memahami maknanya atau yang tidak memahami makna secara keseluruhan atau memahaminya setiap kalimah yang dibaca, tetap akan menerima ganjaran daripada Allah. Semuanya itu tetap dianggap sebagai ibadah.
Begitu pun, balasan atau ganjaran yang diberi adalah berbeza, bergantung kepada ciri atau adab tingkah laku seseorang yang membacanya. Pahala orang yang berupaya memahami makna yang tersirat dalam kalimah Allah, menghayati dan berupaya mengambil iktibar serta patuh pada adab ditetapkan tidak sama dengan pahala mereka yang membacanya tanpa mengetahui makna, tidak berwuduk, tidak dalam keadaan menghadap kiblat dan sebagainya. Semuanya ini dapat difikir secara logiknya oleh akal.
Adab zahir pula begitu banyak dan perlu dipatuhi antaranya:
Membaca al-Quran hendaklah dalam keadaan bersih dan berwuduk.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali makhluk-makhluk yang diakui bersih suci." (Surah al-Waqi'ah, ayat 79).
Al-Quran hendaklah diambil dengan tangan kanan, sebaik-baiknya hendaklah dipegang dengan kedua-dua belah tangan.
Al-Quran hendaklah dibaca di tempat yang bersih, seperti di rumah, di masjid atau lain-lain tempat. Paling utama ialah di masjid.
Mulut hendaklah bersih, tidak berisi sisa-sisa makanan, kerana itu seseorang itu hendaklah bersugi sebelum itu.
Disunatkan membaca al-Quran dalam keadaan menghadap kiblat.
Membacanya dengan penuh khusyuk dan tenang. Dalam masa yang sama orang yang membaca hendaklah berpakaian yang bersesuaian.
Sebelum membaca, seseorang itu hendaklah memohon perlindungan daripada Allah.
Permohonan ini diistilahkan sebagai 'at-Ta'awwuz' . Selepas itu barulah membaca 'Bismalah'. Dilakukan demikian supaya ia dilindungi Allah daripada tipu daya iblis dan syaitan yang boleh menyebabkan hati dan fikiran tidak tenang ketika membaca al-Quran.
Elok juga seseorang itu memohon kepada Allah supaya hatinya menjadi terang dengan doa yang bermaksud: "Ya Allah, bukakan bagi kami hikmat-Mu dan anugerahkan rahmat-Mu kepada kami dari khazanah-Mu. Ya Allah yang Maha Pengasih Lagi Penyayang."
Al-Quran hendaklah dibaca dalam keadaan tertib, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang.
Firman Allah bermaksud: "Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. " (Surah al-Muzzammil ayat 73). Sesungguhnya amalan ini banyak memberi kesan kepada jiwa, lebih mendatangkan ketenangan batin dan rasa hormat kepada Allah yang menguasai sekalian alam.
Bagi mereka yang berupaya menguasai makna dan maksud ayat yang dibaca, mereka hendaklah membacanya dengan penuh perhatian dan penghayatan.
Cara pembacaan seperti ini yang dikehendaki. Lidahnya menuturkan bacaan kalam Allah, hatinya turut memerhatikan dan memikirkan erti juga maksud yang terkandung dalam ayat tadi. Dengan berbuat demikian ia akan memperoleh penghayatan bacaan yang sebenar. Keadaan seperti ini akan mendorong untuk mengamalkan isi al-Quran.
Dalam surah al-Nisa', ayat 82 ada dijelaskan: "Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran? Kalau kiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya."
Mereka yang dapat memahami kandungan al-Quran akan berupaya melaksanakan segala ajaran yang terkandung di dalam ayat yang dibaca. Ketika membaca pada ayat tasbih maka lidahnya akan menyebut 'tasbih' dan 'tahmid' (memuji). Apabila membaca ayat doa dan istighfar, maka pembaca akan berdoa dan memohon keampunan daripada Allah.
Apabila membaca ayat azab, dia akan memohon perlindungan Allah dari segala azab dan apabila membaca ayat rahmat, dia akan meminta rahmat, begitulah seterusnya. Ia boleh dilakukan dengan ucapan lidah atau hanya dalam hati saja.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada Ibn 'Abbas bahawa Rasulullah SAW apabila membaca ayat: "Sabbihis marabbikal-a' la, Baginda membaca Subhana Rabbiyal-a'la (Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi)."
Jelasnya, ketika membaca al-Quran seseorang itu hendaklah membaca dengan penuh penghayatan, terutama oleh mereka yang memahami maknanya secara terperinci atau secara keseluruhan, lebih-lebih lagi pada ayat yang menggambarkan nasib orang yang berdosa betapa hebatnya seksaan yang akan dilalui.
Dengan demikian bacaan yang dituturkan dengan lidah itu akan melahirkan keinsafan membolehkan si pembaca lebih menghayati keagungan Allah, terasa dirinya begitu kerdil. Dari sinilah lahirnya rasa takut kepada Allah.
Biar dalam keadaan apa sekali pun, kesan terhadap pembentukan peribadi orang yang membaca dengan pemahaman makna dan dapat mengambil iktibar daripada apa yang dibaca, tentunya berbeza dengan orang yang membaca al-Quran tanpa mengetahui makna dan penghayatan.
Berita Harian 08/08/06
No comments:
Post a Comment